PENGUMUMAN BERHUBUNG TARIKH PENGUATKUASAAN AKTA SYARIKAT 2016
Pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ingin memaklumkan bahawa Akta Syarikat 2016 (CA 2016) akan dikuatkuasakan secara berperingkat bermula dengan fasa pertama pada 31 Januari 2017.
Dengan tarikh penguatkuasaan fasa pertama CA 2016 ini, Akta Syarikat 1965 adalah dimansuhkan. Namun begitu, beberapa peruntukan di dalam CA 2016 yang masih belum dikuatkuasakan adalah:
(a) Seksyen 241 – peruntukan berhubung keperluan pendaftaran setiausaha syarikat untuk berdaftar dengan Pendaftar
(b) Penggal
8 Bahagian III – peruntukan berhubung mekanisme penyelamat korporat
iaitu perkiraan sukarela korporat (corporate voluntary arrangement) dan
pengurusan kehakiman (judicial management).
Bermula tarikh penguatkuasaan ini,
pihak SSM ingin menarik perhatian pihak terbabit berhubung perkara-perkara berikut:
(a) Pengenalan Syarikat Anggota/Pengarah Tunggal (single member/director company)
Bermula
tarikh penguatkuasaan CA 2016, syarikat boleh ditubuhkan oleh atau
mempunyai seorang anggota dan anggota tunggal tersebut boleh juga
menjadi pengarah tunggal. Namun, bagi syarikat-syarikat awam, AS 2016
masih mengekalkan keperluan minimum 2 orang pengarah.
(b) Perubahan “sijil pemerbadanan” kepada “notis pendaftaran”
Bermula
tarikh penguatkuasaan CA 2016 ini, pihak SSM akan mengeluarkan notis
pendaftaran untuk pemerbadanan syarikat baharu bagi menggantikan sijil
pendaftaran bagi membuktikan bahawa peruntukan berhubung keperluan
pendaftaran syarikat tersebut telah dipenuhi selaras dengan peruntukan
undang-undang.
(c) Penghapusan konsep modal dibenar (authorized capital)
Di
bawah CA 2016 ini, syarikat tidak lagi perlu menyatakan jumlah modal
dibenar. Sebaliknya, syarikat hanya perlu memaklumkan jumlah modal yang
dikeluarkan (issued share capital) serta jumlah modal berbayar (paid up
capital) dan perubahan yang berkaitan melalui penyata pengumpukan
(return of allotments).
(d) Penghapusan konsep nilai nominal pada syer (syer with nominal value)
Bermula
31 Januari 2017, mana-mana syer yang dikeluarkan tidak lagi terikat
dengan nilai nominal yang ditetapkan sewaktu syarikat diperbadankan.
Syarikat boleh mengeluarkan syer pada harga yang ditetapkan mengikut
faktor-faktor yang mempengaruhi keadaan dan keperluan semasa syarikat.
(e) Syarikat tidak perlu mempunyai perlembagaan atau memorandum & artikel persatuan
Bagi
syarikat yang diperbadankan bermula 31 Januari 2017, syarikat tersebut
mempunyai pilihan samada untuk mempunyai perlembagaan atau sebaliknya.
Bagi syarikat yang diperbadankan sebelum CA 2016 dikuatkuasakan,
perlembagaan sedia ada akan terus terpakai terhadap syarikat tersebut
sehingga syarikat memutuskan sebaliknya. Walau bagaimanapun, syarikat
berhad menurut jaminan masih diwajibkan untuk mempunyai perlembagaan.
(f) Syarikat tidak perlu mempunyai meterai rasmi (common seal)
Bermula
31 Januari 2017, syarikat mempunyai pilihan untuk tidak mempunyai
meterai rasmi. Pelaksanaan dokumen syarikat hendaklah mengikut tatacara
yang digariskan di bawah Penggal 9 Bahagian II termasuk keadaan
sekiranya syarikat memilih untuk mempunyai meterai rasmi.
(g) Penghapusan keperluan mesyuarat agung tahunan bagi syarikat persendirian
Bermula
31 Januari 2017, semua syarikat persendirian tidak lagi diperlukan
untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan. Sebaliknya keputusan syarikat
persendirian boleh dijalankan sepenuhnya melalui resolusi edaran.
(h) Pengasingan penyerahsimpanan Penyata Tahunan dan Penyata Kewangan
Di
bawah CA 2016, keperluan penyerahsimpanan Penyata Tahunan adalah
berdasarkan tarikh ulang tahun pemerbadanan sesebuah syarikat, manakala
tarikh penyerahsimpanan Penyata Kewangan tidak lewat dari 7 bulan
daripada tarikh tahun kewangan berakhir sesebuah syarikat.
Pihak
SSM menyeru dan memohon kerjasama pihak terlibat untuk mengambil kira perubahan-perubahan
yang dinyatakan di atas dalam menyemak semula, menggubal atau
melaksanakan polisi dan proses yang memberi kesanterhadap sesebuah
syarikat ketika berurusan dengan Kementerian/Jabatan/Agensi/Organisasi
di bawah kawal selia pihak terbabit. Ini
bertujuan untuk memastikan bahawa polisi-polisi yang bersifat mesra
perniagaan yang terkandung di dalam CA 2016 dapat dilaksanakan dengan
lebih efisien dan faedahnya dapat dinikmati oleh masyarakat korporat
secara keseluruhannya.
Selain daripada CA 2016, SSM juga
akan menguatkuasakan Akta Skim Kepentingan 2016 bermula 31 Januari 2017.
Akta Skim Kepentingan ini mengawalselia penawaran skim kepentingan
sebagai satu alternatif untuk menjana modal perniagaan bagi syarikat.
Peruntukan di bawah Akta Skim Kepentingan ini dahulunya merupakan
sebahagian daripada Akta Syarikat 1965.
Sumber : Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Comments
Post a Comment